Teknologi Voice Over Internet Protocol (VoIP)

Sejak telefon dicipta oleh Alexander Graham Bell pada suatu ketika dahulu, kita hanya diperkenalkan dengan rangkaian telefon pensuisan awam (PSTN) untuk membuat panggilan telefon. Rangkaian telefon berjenis ini hanya membenarkan komunikasi suara dan faks sahaja dan tidak membenarkan jenis format maklumat lain seperti data untuk dibawa bersama semasa komunikasi suara berlaku.

Kini, teknologi semakin berkembang pesat dan perubahan diperlukan dalam komunikasi telefon iaitu bukan sahaja komunikasi suara tetapi komunikasi data juga perlu dipertingkatkan lagi. Tetapi, rangkaian suara hanya membekalkan suara bukannya komunikasi data. Oleh itu, teknologi yang berasingan perlu dibangunkan. Sesiapa yang berhasrat untuk membuat pertukaran di antara suara  dan data, dia memerlukan talian data dan talian telefon yang berasingan. Ini bermakna kesemuanya adalah berganda seperti perkhidmatan, kos panggilan, sewa talian, pemasangan dan kesulitan. 
Teknologi Voice Over Internet Protokol (Voip)

Situasi ini masih lagi wujud walaupun beberapa bahagian korporat dan LAN (Local Area Network ) masih mempunyai ruang atau lebar jalur yang tidak digunakan. Dengan menggunakan lebar jalur sedia ada pada talian data, kita boleh menghapuskan keperluan untuk menggunakan dua rangkaian data dan suara yang berasingan. Ini merujuk kepada Telefon Internet iaitu telefon suara melalui protokol Internet ( VoIP). Melalui teknologi ini, ia membolehkan pertukaran data dan suara melalui satu rangkaian sahaja.

Teknologi Telefon Suara melalui IP atau VoIP merupakan satu teknologi terkini yang sedang hangat diperkatakan. VoIP adalah teknologi yang membolehkan panggilan telefon tempatan dan antarabangsa dapat dibuat melalui protokol Internet (IP) menggunakan rangkaian suis berpaket dengan kadar panggilan jauh yang lebih murah berbanding panggilan melalui talian tetap atau selular.

Protokol Internet atau Internet Protokol (IP) merupakan satu dari paras protokol dalam suatu rangkaian. Dalam erti kata lain, apa-apa sahaja yang dihubungkan melalui IP bermaksud melaksanakan suatu komunikasi melalui Internet. IP merupakan teknologi terkini yang baik untuk komunikasi data. Banyak syarikat di negara-negara maju tidak mahu ketinggalan dalam mengaplikasikan teknologi IP ini, Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang turut terlibat dalam usaha untuk membina rangkaian IP dengan matlamat untuk menawarkan perkhidmatan suara dan data bersepadu. VoIP atau panggilan telefon melalui Internet dengan kos yang jauh lebih murah daripada sekarang menjadi idea yang ‘dibeli’ pengguna. Ini adalah janji VoIP untuk para pengguna yang menggunakannya.

Bagaimana komunikasi melalui IP ini dilakukan?
Secara teorinya, panggilan telefon melalui IP ini dilakukan dengan suara pengguna dimampatkan dan dipindahkan dalam bentuk paket menerusi Internet seperti mana yang dilakukan kepada kandungan emel yang dipindahkan. Paket ini dikenali sebagai paket IP yang pergi dan kembali dalam Internet, ini membolehkan pengguna bercakap dan mendengar pada masa yang sama. Dengan proses pemampatan suara ini menjadi paket, syarikat penyedia perkhidmatan IP boleh mengendalikan lebih banyak panggilan VoIP dalam satu masa berbanding dengan panggilan telefon biasa. Oleh itu, penjimatan dapat dirasai oleh setiap pengguna perkhidmatan telefon suara melalui IP ini.

Secara keseluruhannya, perkhidmatan telefon suara melalui IP menggunakan Internet ini memerlukan komputer atau komputer- peribadi (PC). Teknologi VoIP merupakan gantian kepada rangkaian telefon pensuisan awam (PSTN) yang perlahan dan berteknologi lama. Walaupun masa yang lama diperlukan untuk menggantikan semua talian PSTN yang sedia ada, tetapi teknolgi VoIP ini mungkin dapat diperkembangkan secara berperingkat sehingga semua pihak di negara ini dapat menerima dan memahami teknolgi tersebut.

Perkhidmatan kad pra-bayar FlexiCall JARING merupakan perkhidmatan terkini dalam pasaran yang menggunakan teknologi VoIP dengan menggunakan rangkaian tulang belakang fiber optik Internet yang dipunyai oleh JARING. MIMOS Berhad telah melancarkan kad pra-bayar FlexiCall JARING iaitu kemudahan untuk membuat panggilan telefon jauh dan antarabangsa berasaskan teknologi suara melalui Protokol Internet (VoIP). FlexiCall JARING yang dimajukan oleh MIMOS Internet Services ini menawarkan harga yang lebih murah dengan kualiti suara yang lebih baik. FlexiCall JARING ini membolehkan orang ramai menjimatkan bil telefon apabila membuat panggilan khususnya untuk panggilan antarabangsa kerana ia menawarkan penjimatan kos dengan masa percakapan lebih lama. Sasaran pengguna bagi FlexiCall JARING ini adalah para pekerja dan penuntut serta pelancong asing yang berada di negara ini yang kerap membuat panggilan antarabangsa sama ada untuk urusan peribadi mahu pun perniagaan.

Kad pra-bayar FlexiCall JARING ini dapat diperolehi dalam nilai RM30 dan RM50 dengan penjimatan sehingga 80 peratus untuk panggilan jauh dan antarabangsa di lebih 100 destinasi seluruh negara.Penglibatan MIMOS dalam pasaran baru ini adalah satu komitmen untuk melengkapkan rakyat dengan teknologi terkini khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi melalui pembangunan teknologi tempatan. Ianya juga memberi sumbangan besar dalam menjana perkembangan industri di linkungan akses Internet dan merangsang pertumbuhan perkhidmatan Internet di Malaysia.

Beberapa syarikat yang bukan dari sektor telekomunikasi telah diberi Lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Individu di bawah penguatkuasaan syarat-syarat baru untuk mengawal selia pembekalan dan pengoperasian fasiliti. Syarat-syarat tersebut bagi membolehkan syarikat bukan telekomunikasi seperti MIMOS Berhad dapat bersaing di pasaran dalam menawarkan pelbagai perkhidmatan berasaskan teknologi VoIP.

Teknologi VoIP dijangka mengalami kepesatan pertumbuhan dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang di Asia berikutan permintaan terhadap kos panggilan jauh yang lebih rendah di samping pasaran bagi teknologi VoIP ini masih baru di rantau ini berbanding di Amerika Syarikat dan Eropah.

Subscribe to receive free email updates: